postheadericon Pemakanan Pesakit Strok Di Rumah

Pengenalan

Sejumlah 75% daripada pesakit yang mengalami strok adalah mereka yang berumur lebih daripada 65 tahun dan kejadian strok meningkat dengan faktor umur (J Neurosci Nurs 1994).

Setelah serangan akut strok, kadar malnutrisi dilaporkan meningkat dari 16% semasa kemasukan ke wad sehingga 22 – 35% setelah 2 minggu di wad (Acta Med Scand 1988). Keadaan malnutrisi ini menjadi lebih teruk apabila pesakit pulang ke rumah. Ini adalah disebabkan oleh penjagaan pemakanan yang tidak optimum mengikut keperluan individu.

Gejala/tanda

Dianggarkan sebanyak 29 – 64% pesakit strok akan mengalami disfagia (Stroke 1999). Disfagia ialah kesukaran untuk menelan makanan dan minuman.

Komplikasi

Disfagia boleh meyebabkan kekurangan pengambilan makanan yang seterusnya mengakibatkan penurunan berat badan dan malnutrisi. Ia juga turut dikaitkan dengan kekurangan air badan, aspirasi dan pneumonia (J Neurosci Nurs 1994).

Pengurusan Pemakanan

Terdapat dua cara penjagaan yang biasa dilakukan, iaitu:

  1. Makanan melalui mulut ( Pemakanan Oral)
    Bagi pesakit strok yang mengalami disfagia pengurusan pemakanan perlulah bersifat individu dan bergantung kepada kebolehan pesakit untuk makan dan minum bentuk tekstur makanan dan minuman. Ujian Penelanan (Swallowing Test) perlu dilakukan oleh Pegawai Pertuturan (Speech Therapist) untuk menentukan jenis minuman dan makanan yang sesuai dimakan melalui mulut. 

    Modifikasi makanan dari segi tekstur dan kepekatan boleh dilakukan seperti :

    • makanan dicincang kasar / halus
    • makanan dikisar kasar
    • makanan dikisar halus (puri)
    • minuman / makanan dipekatkan mengguna agen pemekat makanan seperti:- tepung jagung atau ‘Thixer’ atau ‘Thick & Easy’ (produk komersial)


    Rajah 1: Makanan di cincang kasar

    Rajah 2: Makanan dikisar kasar

    Rajah 3: Makanan dikisar halus (puri)
    Contoh: Kentang Putar

    Rajah 4: Makanan / minuman dipekatkan mengguna agen pemekat makanan

    CONTOH RESEPI BUBUR
    (Jika pesakit boleh makan bubur lembut, hidangan ini tidak perlu dikisar)

    BUBUR IKAN BILIS
    (223kcal, 12g protein)

    BAHAN

    • 1/4 cawan beras
    • 3 sudu besar ikan bilis
    • 1/4 sudu kecil garam
    • 1/4 cawan lobak (dipotong kecil)
    • ¼ bawang merah
    • ¼ bawang putih
    • 1 sudu besar minyak masak

    CARA PENYEDIAAN

    • Masak beras sehingga menjadi bubur.
    • Tumis bawang merah, bawang putih dan ikan bilis.
    • Rebus lobak sehingga lembut.
    • Masukkan semua bahan ke dalam bubur dan kemudian masukkan garam.
    • Selepas itu, bubur haruslah dikisar menggunakan pengisar sehingga menjadi cecair dan ditapis.
    • ¼ bawang putih
    • Tambah air ¼ cawan jika terlalu pekat. (sukatan 250ml).

    BUBUR AYAM/IKAN
    (205-211kcal, 7-10g protein)

    BAHAN

    • 1/4 cawan beras
    • 1/4 cawan ayam/ ikan tenggiri (dicincang)
    • 1/4 sudu kecil garam
    • 1/4 cawan lobak (dipotong kecil)
    • ¼ cawan kacang pis/ sayur bayam
    • 1 sudu besar minyak masak

    CARA PENYEDIAN

    • Masak beras sehingga menjadi bubur
    • Ayam/ ikan direbus dan dicincang.
    • Rebus lobak dan kacang pis sehingga lembut.
    • Tumis ayam/ ikan, lobak dan kacang pis dan masukkan ke dalam bubur.
    • Masukkan garam dan gaul sebati.
    • Selepas itu, bubur haruslah dikisar menggunakan pengisar sehingga menjadi cecair dan ditapis.
    • Tambah air ¼ cawan jika terlalu pekat (sukatan 250ml).

    BUBUR ROTI
    (190kcal, 11g protein)

    BAHAN

    • 2 keping roti (dibuang kulitnya)
    • 200 ml susu rendah lemak

    CARA PENYEDIAN

    • Roti dikisar bersama susu rendah lemak sehingga menjadi cecair dan ditapis.
    • Dapatkan sukatan 250ml.
  2. Pemakanan melalui tiub (Pemakanan Enteral)
    Bagi pesakit yang tidak boleh makan dan minum secara oral dengan jumlah yang cukup dan berisiko tinggi untuk aspirasi, ia harus menggunakan tiub pemakanan (Ryles tube) sehingga keupayaan untuk menelan pulih. 

    Laluan dan kaedah pemakanan melalui tiub biasanya akan ditetapkan oleh pihak hospital atau klinik. Namun, ahli keluarga hendaklah memilih produk yang sesuai untuk digunakan semasa di rumah.

    Bagi pesakit strok yang mempunyai fungsi saluran pemakanan yang baik, formula enteral polimerik adalah bersesuaian. Produk polimerik biasanya mengandungi karbohidrat, protein dan lemak yang perlu dihadam. Kini terdapat pelbagai formula enteral polimerik di pasaran yang boleh dibeli di farmasi, kedai ubat cina dan pasar raya. Terdapat juga produk polimerik yang tinggi serat, tinggi protein dan tinggi tenaga yang disesuaikan mengikut keperluan pesakit. Produk enteral yang dirumus khas untuk keadaan penyakit-penyakit tertentu juga boleh digunakan. Rumusan susu lain seperti susu rendah lemah, susu tanpa lemak atau susu penuh krim juga boleh digunakan bersama-sama dengan campuran bijirin halus.

    Kebiasaannya, 1200 – 1800 ml produk enteral yang dibancuh mengikut sukatan boleh memenuhi keperluan tenaga kebanyakan pesakit. Adalah diwajibkan pesakit atau ahli keluarga untuk mendapatkan nasihat pemakanan daripada Pegawai Dietetik di hospital atau klinik berhampiran sebelum menggunakan sebarang formula enteral atau rumusan lain. Pegawai Dietetik akan membantu untuk merancang diet yang paling sesuai dari segi jumlah dan penyediaan.

    Ahli keluarga yang ingin menyediakan bubur kisar (blenderised diet) di rumah untuk diberi melalui tiub pemakanan perlu mendapat panduan daripada Pegawai Dietetik. Perlu diingati bahawa komposisi nutrisi bubur kisar adalah rendah dan tidak tepat. Kepekatan juga berbeza dan tidak dapat dipastikan dengan tepat. Ia terdedah kepada risiko kontaminasi yang tinggi. Selain dari itu, ia juga mudah menyumbatkan tiub pemakanan.

 

Leave a Reply

Kira Body Mass Index Anda



Jump to the BMI table »

Pemanis Khasiat Yang Mustajab
Pengganti gula yang unik semakin popular di serata dunia kerana, ia bukan sahaja 300 kali lebih manis daripada gula tebu, tiada sisa rasa yang pelik, manakal juga memberi manfaat kesihatan yang terbukti pada gula darah, kesihatan oral, kawalan berat, dan lain-lain.
http://www.luvina.biz

Pakej Kesihatan Serba Lengkap
Produk mesti guna dikalangan wanita-wanita dan ibu-ibu selepas bersalin.
http://www.luvina.biz