Archive for the ‘Kehamilan’ Category

postheadericon Kesukaran Untuk Hamil

Pengenalan

Kebanyakan pasangan yang berkahwin memperolehi zuriat tanpa sebarang kesukaran atau masalah serta tidak perlu menunggu masa yang lama. Namun begitu, satu daripada enam atau tujuh pasangan ini akan mengalami masalah dan secara perubatannnya ia dipanggil sebagai subfertiliti. Definisi ini bermaksud kesukaran untuk hamil walaupun telah melakukan hubungan seks secara tetap tanpa pelindung selama dua tahun. Bagaimanapun rawatan biasanya akan diberikan selepas setahun berkahwin. Ini tidak termasuk pasangan yang mempunyai masalah organ seksual yang tidak berfungsi kerana tidak mampu untuk menghasilkan atau mengekalkan ereksi atau ejakulasi.

Salah satu daripada sebab utama ketidaksuburan adalah kerana pasangan hanya mula merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga pada usia yang lewat. Ini adalah faktor utama bagi wanita, di mana kadar kesuburan menurun dengan peningkatan usia. Bagi wanita yang berumur di antara 35 hingga 39 tahun peluang untuk hamil akan berkurangan separuh daripada wanita yang berumur di antara 19 hingga 26 tahun. Read the rest of this entry »

postheadericon Penjagaan Pranatal

Apakah itu penjagaan pranatal?

  • Ia adalah pemeriksaan kesihatan yang berkala apabila anda disahkan mengandung.
  • Salah satu tujuan adalah untuk memastikan hubungan baik antara anda dan kakitangan kesihatan.
  • Kedua-dua keperluan perubatan dan psikologi anda akan ditangani.
  • Perkhidmatan ini dikendalikan oleh petugas yang terlatih di semua klinik-klinik kesihatan kerajaan.

Apa itu lawatan tempah?

Lawatan tempah adalah lawatan pertama anda ke klinik penjagaan pranatal.

  • Ini adalah lawatan mustahak untuk mengenal pasti dan menguruskan sebarang komplikasi kesihatan ( jika ada ) dan melakukan saringan faktor-faktor risiko yang mungkin dialami semasa tumbesaran janin dan akibatnya.
  • Ia perlu dilakukan sebaik sahaja anda disahkan mengandung.
  • Masa yang disyorkan bila anda mengandung kurang dari 12 minggu.
  • Lawatan pertama mungkin terlewat bagi kandungan anda tetapi masih dianggap lawatan tempah.

Semasa lawatan tempah, jururawat akan bertanyakan beberapa soalan berkaitan dengan:

  • Perihal pusingan haid anda
  • Sejarah peribadi
  • Sejarah keluarga
  • Sejarah perubatan dan pembedahan
  • Sejarah kandungan lampau (jika ada)
  • Latar belakang ekonomi dan sosial

Selepas sesi temuduga jururawat akan melakukan pemeriksaan fizikal.

Seterusnya anda perlu menjalani ujian di makmal.

Apabila anda selesai dengan proses tadi, terpulang kepada keadaan dan keputusan temuduga, pemeriksaan dan ujian makmal, rawatan diberikan mengikut kesesuaian.

Sebelum pulang, tarikh lawatan susulan anda akan diberi mengikut persetujuan anda

Jururawat akan memberikan salinan kad pranatal untuk disimpan oleh anda dan untuk dibawa bersama semasa lawatan ke klinik.

Keseluruhan proses mengambil masa 1- 2 jam bergantung kepada beban kerja klinik semasa lawatan anda.

Apakah yang dilakukan semasa lawatan susulan pranatal?

  • Semasa lawatan ini tahap kesihatan dan keadaan kandungan anda akan dinilai dan dipantau.
  • Penglibatan keluarga dan waris adalah digalakan:
    • Untuk sokongan emosi bila diperlukan.
    • Menggalakan mengikut nasihat dan program penjagaan pranatal.
    • Membantu mengenalpasti keperluan dan kehendak ibu.
    • Berbincang bagi merancang kelahiran.
  • Berikut adalah ativiti-aktiviti yang dilakukan semasa lawatan susulan:
    • Sejarah ringkas dari lawatan akhir pranatal yang telah direkodkan.
    • Pengambilan berat badan dan tekanan darah.
    • Ujian air kencing untuk protein dan gula.
    • Ketinggian rahim direkodkan di carta yang ditetapkan untuk pemantauan tumbesaran janin.
    • Kedudukan janin
      • Dinilai selepas kandungan 32 minggu.
      • Jika kedudukan janin tidak tepat, pemeriksaan ultrasound untuk kenal pasti kedudukan uri.
    • Denyutan jantung janin akan direkodkan.
    • Pelalian (diberikan bila sampai tempoh).

Berapa kerapkah lawatan pranatal?

Dicadangkan lawatan pranatal seperti berikut:

  • Sebelum 28 minggu – sebulan sekali
  • 28 – 35 minggu – setiap 2 minggu sekali
  • 36 minggu dan keatas – setiap minggu

Kekerapan lawatan bergantung kepada keperluan dan keadaan anda.

Bagaimana saya akan tahu bayi kandungan saya membesar dengan sihat?

Semasa lawatan pranatal kedua ibu dan kandungan anda akan dinilai dan dipantau.

Di sini disenaraikan aktiviti-aktiviti yang membantu petugas kesihatan untuk memantau kebaikan janin:

  • Mengukur ketinggian rahim (saiz perut anda)
  • Pemantauan pertambahan berat badan bagi setiap lawatan
  • Pemeriksaan ultra sound bagi menilai tumbesaran dan kedudukan janin.
  • Carta pergerakan janin – anda perlu mengira kekerapan tendangan janin dalam masa 12 jam
  • Denyutan jantung janin anda – dengan menggunakan mesin Doppler membolehkan anda mendengar denyutan jantung janin anda.
  • Cardiotocography (CTG ) – mesin yang digunakan untuk menilai keadaan janin jika dikhuatiri janin tidak membesar dengan baik.

Di mana saya boleh mendapat bantuan?

  • Di semua klinik kesihatan kerajaan (di kenali sebagai Poliklinik Komuniti, Klinik Kesihatan, Klinik Desa)
  • Klinik swasta
  • Hospital swasta

Bahan rujukan

  1. KKM (2003). Garispanduan Senarai Semak Mengikut Sistem Kod Warna Penjagaan Kesihatan Ibu Dan Bayi Edisi 3 (Versi Semakan)
  2. KKM (2002). Perinatal Care Manual.

 

postheadericon Hipertensi Semasa Mengandung

Pengenalan

Hipertensi adalah satu masalah kesihatan yang kerap berlaku di kalangan wanita mengandung.

Hipertensi semasa mengandung adalah terdiri dari beberapa kategori:

  • Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung lagi);
  • Hipertensi akibat mengandung; dan
  • Pra-eklampsia

Hipertensi yang sedia ada terjadi di kalangan 1 hingga 5% wanita hamil, manakala hipertensi akibat mengandung terjadi di kalangan 5 hingga 10% wanita hamil. Peratusan ini mungkin lebih tinggi di kalangan penduduk Asia oleh kerana faktor genetik. Hipertensi semasa mengandung adalah lebih kerap berlaku semasa kandungan pertama (sehingga 25% wanita hamil).

Hipertensi semasa mengandung memerlukan pemerhatian dan rawatan yang rapi. Wanita hamil berisiko tinggi mengalami Pra-eklampsia atau Eklampsia (sawan) yang boleh menyebabkan kerosakan otak dan buah pinggang, masalah pendarahan dan kemudaratan kepada janin yang belum lahir.

Mengapa hipertensi semasa mengandung terjadi?

Sebab sebenar mengapa sesetengah wanita hamil mendapat hipertensi dan ada yang tidak, masih belum diketahui. Salah satu faktor risiko adalah faktor genetik. Teori pertama menyatakan bahawa terdapat masalah ketika perkembangan bahagian uri semasa awal mengandung. Teori yang kedua pula menyatakan bahawa mungkin terdapat kejadian peradangan yang tidak terkawal, di mana tubuh badan bertindak balas terhadap uri itu sendiri. Laporan saintifik menyatakan bahawa lebih ramai wanita Asia yang menghidap hipertensi semasa mengandung.

Siapakah yang berisiko?

Golongan wanita mengandung yang berisiko mendapat hipertensi adalah seperti berikut:

Faktor-Faktor Am:

  • Wanita berumur 40 tahun dan ke atas.
  • Obes: BMI ?30 kg/m2 adalah dikaitkan dengan peningkatan dua kali ganda risiko mendapat pra-eklampsia. BMI yang tinggi sebelum mengandung atau pada peringkat awal mengandung akan meningkatkan risiko kejadian hipertensi semasa mengandung.

Faktor Genetik:

  • Sejarah kejadian hipertensi semasa mengandung di kalangan ahli keluarga, sama ada sebelah ibu atau pun adik beradik meningkatkan risiko antara 20% hingga 40%.

Faktor-Faktor Obstetrik

  • Primigravida ? kandungan yang pertama (2-3 kali ganda lebih tinggi risiko)
  • Kandungan kembar
  • Sejarah pra-eklampsia pada kandungan yang sebelumnya
  • Tempoh antara kandungan yang lama
  • Penyakit Hydrops, dengan uri yang besar
  • Kandungan molar

Nota: Walaupun wanita primigravida (kandungan pertama) berisiko tinggi mendapat pra-eklampsia, wanita yang multiparous (anak yang ramai) berisiko mendapat gejala yang lebih serius dengan pelbagai komplikasi.
Faktor-Faktor Perubatan

  • Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung)
  • Penyakit buah pinggang
  • Diabetes
  • Kehadiran antibodi Anti-fosfohipid
  • Penyakit Connective tissue
  • Trombofilia keturunan (Inherited thrombophilia)

Peralatan mengukur tekanan darah adalah untuk ukuran standard bagi tekanan darah

Bilakah hipertensi berlaku semasa mengandung?

Hipertensi boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang tempoh mengandung. Oleh yang demikian, bacaan tekanan darah perlu diambil setiap kali wanita hamil mendapatkan rawatan susulan di klinik.

Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung)

Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) selalunya dikesan pada peringkat awal kehamilan (trimester pertama). Lazimnya individu ini tidak mengalami sebarang gejala dan tidak mengetahui mereka mempunyai tekanan darah yang tinggi sehinggalah mengandung, di mana tekanan darah yang tinggi tersebut dikesan semasa lawatan antenatal. Bagi golongan yang muda, andaian bahawa hipertensi yang dihidapi adalah jenis hipertensi primer (essential hypertension) tidak boleh dibuat, tanpa pemeriksaan lanjut untuk mengetahui sebab yang menyebabkan hipertensi sekunder seperti Sindrom Cushing?s, Sindrom Conn?s dan phaeochromocytoma. Wanita dengan hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) adalah berisiko untuk turut mendapat pra-eklampsia, bayi yang kecil berbanding umur (small for gestational age) dan placental abruption (satu keadaan di mana uri terpisah dari rahim dan menyebabkan pendarahan). Golongan wanita ini memerlukan rawatan oleh kerana risiko kejadian pra-eklampsia dianggarkan dua kali ganda.

Hipertensi akibat mengandung

Berbanding dengan kategori di atas, hipertensi akibat mengandung dan pra-eklampsia lazimnya dihidapi pada separuh terakhir kehamilan sehingga 6 minggu selepas bersalin. Tekanan darah mungkin berada pada paras tinggi sehingga 3 bulan selepas bersalin. Hipertensi akibat mengandung boleh didefinisikan sebagai hipertensi yang berlaku semasa separuh terakhir kehamilan tetapi tanpa tanda-tanda pra-eklampsia (seperti yang dinyatakan di bawah). Rawatan bagi hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) dan hipertensi akibat mengandung adalah sama. Jika hipertensi berlaku selepas 20 minggu kehamilan, kemungkinan ia melarat menjadi pra-eklampsia adalah kira-kira 15%. Hipertensi akibat mengandung lazimnya berulang semasa kehamilan yang seterusnya. Sesetengah wanita pula kekal dengan tekanan darah yang tinggi selepas kehamilan yang bermasalah akibat hipertensi akibat mengandung.

Pra-eklampsia

Hipertensi dan protinuria (kehadiran protein di dalam air kencing) adalah tanda-tanda utama kejadian pra-eklampsia. Protinuria semasa mengandung boleh disebabkan oleh jangkitan kuman pada saluran air kencing (urinary tract infection), tetapi ia mungkin kejadian pre-eklampsia walaupun tekanan darah adalah tinggi sedikit dari aras normal. Tanda-tanda pre-eklampsia (dan juga eklampsia) mungkin timbul sebelum, semasa dan juga selepas bersalin.

Wanita-wanita hamil mungkin mendapat sakit kepala, gangguan penglihatan, sakit di bahagian perut, loya, muntah, atau odema (bengkak, terutamanya di bahagian kaki). Malangnya, kebanyakan wanita hamil tidak mengalami sebarang gejala, menjadikan penyakit ini sukar dinilai secara klinikal. Wanita-wanita hamil perlu diberikan pendidikan kesihatan untuk mengenali tanda-tanda awal pra-eklampsia dan seterusnya mengambil langkah awal untuk mendapatkan rawatan. Jika keadaan ini dibiarkan tanpa rawatan rapi, ia boleh melarat menjadi eklampsia atau sawan, memudaratkan ibu mengandung dan juga janin. Pra-eklampsia menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan masalah pembekuan darah, diikuti kejadian placenta abruption (satu keadaan di mana uri terpisah dari rahim dan menyebabkan pendarahan). Sebab utama kematian penghidap pra-eklampsia adalah pendarahan dalam otak dan masalah pernafasan yang serius (adult respiratory syndrome). Janin pula boleh mengalami kelemasa (masalah pernafasan), pembantutan tumbesaran dan kematian.

Eklampsia

Eklampsia adalah satu masalah kesihatan di mana pesakit yang mengalami gejala-gejala pra-eklampsia (seperti di atas) turut mengalami sawan. Lain-lain penyebab sawan seperti epilepsy, ketidakseimbangan biokimia dalam tubuh badan atau hipoglisemia (kurang gula dalam darah). Perlu disahkan bukan penyebab sawan sebelum eklampsia didiagnosa. Terdapat juga situasi di mana pra-eklampsia tidak menunjukkan tanda klinikal yang jelas dan diagnosis hanya boleh dilakukan selepas eklampsia terjadi. Lebih dari satu pertiga daripada wanita yang hamil mengalami episod sawan yang pertama sebelum kejadian tekanan darah tinggi dan protinuria. Remaja hamil berisiko lebih 3 kali ganda mengalami eklampsia berbanding wanita dewasa. Komplikasi akibat eklampsia termasuklah angin ahmar (strok) disebabkan oleh pengecutan salur darah atau edema (kebengkakan) di bahagian otak. Komplikasi ini lazimnya akan kembali normal dengan sendirinya, namun ada di kalangan wanita ini yang mengalami kerosakan otak yang kekal.

Saringan & Pemeriksaan Klinikal

Hipertensi boleh didefinisikan sebagai tekanan darah sistolik >140 mmHg dan/atau tekanan darah diastolik >90 mmHg. Sebarang kejadian tekanan darah tinggi yang dikesan semasa pemeriksaan perlu diambil secara serius, dan ujian saringan bagi protinuria (protin dalam air kencing) perlu dilakukan bagi mengesan kemunculan pra-eklampsia. Protinuria (yang signifikan) boleh didefinisikan sebagai >300 mg proti, atau ujian di dalam sampel urin 24-jam atau spot urine protein-creatinine ratio >30 mg/mmol. Jika hanya ujian urin dipstick sahaja yang mampu dilakukan, keputusan 1+ (atau 30mg/dl) boleh disamakan dengan >300 mg/day protinuria. Selain dari pemantauan tekanan darah dan protinuria, peningkatan berat badan yang berlebihan dan odema turut dikaitkan dengan kejadian pra-eklampsia. Pemantauan fungsi buah pinggang dan hati juga perlu dilakukan bagi mengelakkan komplikasi yang lain.

Wanita hamil yang berisiko tinggi memerlukan pemeriksaan dan pemantauan yang rapi, serta rujukan awal kepada doktor pakar.

 

Kawasan saringan di klinik antenatal
Mengukur tekanan darah dilakukan secara rutin di klinik antenatal

 

Rawatan Klinikal

Ubatan yang lazim digunakan adalah Methyldopa dan Labetolol. Wanita yang menghidapi hipertensi sedia ada (sebelum mengandung) mungkin perlu menukarkan ubatan yang mereka ambil memandangkan Angiotensin Receptor Blocker (ARB) dan Angiotension Converting Enzyme Inhibitor (ACE-I) tidak boleh digunakan semasa mengandung. Rawatan hipertensi semasa mengandung adalah bertujuan untuk keselamatan wanita yang mengandung itu sendiri. Rawatan tidak mengurangkan risiko kejadian pra-eklampsia atau kematian janin atau membantu tumbesaran janin. Pemeriksaan saringan untuk mengesan sebab-sebab lain yang menyebabkan hipertensi perlu dilakukan sekiranya hipertensi dikesan sebelum 20 minggu tempoh kehamilan. Selepas 16 minggu tempoh kehamilan, pemeriksaan saringan bagi mengesan hipertensi perlu dilakukan ke atas semua wanita yang mengandung tanpa mengira umur dan lain-lain faktor risiko.

Sasaran rawatan mungkin berbeza dari satu ke satu klinik. Untuk memastikan peredaran darah di dalam sistem darah uri-janin tidak terganggu, tekanan darah diastolik mestilah tidak kurang dari 90 mmHg. Jika pra-eklampsia terjadi, tidak kira sama ada sedikit ataupun serius, rujukan kepada doktor pakar obstetrik adalah wajib, dan pesakit diberikan rawatan dengan kerjasama pakar perubatan keluarga. Bagi kes yang tiada komplikasi, wanita tersebut dibenarkan bersalin pada tempoh kehamilan 38 hingga 40 minggu. Bagi semua kes-kes eklampsia pula, wanita ini perlu dirawat di hospital pakar, yang mempunyai unit rawatan rapi neonatal yang baik. Keputusan untuk melahirkan bayi awal perlu dilakukan oleh doktor pakar obstetrik dengan mengambil kira semua fakta klinikal bagi setiap kes.

Penjagaan selepas bersalin

Semua wanita yang mengidap hipertensi semasa mengandung perlu menjalani pemeriksaan tekanan darah secara berkala di klinik kesihatan yang terdekat selepas bersalin. Lazimnya tekanan darah akan kembali normal selepas 6 minggu tempoh berpantang, namun ia mungkin mengambil masa yang lebih panjang bagi sesetengah wanita. Pengambilan ubatan bagi mengawal tekanan darah akan dikurangkan secara berperingkat-peringkat sebelum diberhentikan, dan bukan dengan mengejut. Penggunaan ubat Methyldopa dalam tempoh selepas bersalin adalah tidak dibenarkan oleh kerana risiko kejadian kemurungan yang tinggi.

Ada wanita akan terus mengalami tekanan darah yang tinggi. Oleh yang demikian, pemeriksaan secara berkala adalah amat penting, diikuti dengan rawatan. Wanita yang menghidapi hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) boleh kembali mengambil semula ubatan hipertensi yang diambil sebelum mengandung. ACE-I dan ARB adalah selamat untuk diambil oleh wanita yang menyusu badan. Walau bagaimanapun, pengambilan diuretics tidak digalakkan di kalangan wanita yang menyusu badan untuk mengelakkan perasaan kehausan yang melampau. Peningkatan tekanan darah yang tidak terkawal boleh terjadi selepas bersalin dan keadaan ini perlu diambil secara serius oleh kerana ia mungkin satu tanda kejadian eklampsia (yang masih boleh berlaku selepas bersalin). Jika tekanan darah kekal tinggi selepas tiga bulan bersalin, wanita tersebut boleh didiagnosa mengidap hipertensi yang kronik.

Wanita yang berisiko menghidap hipertensi semasa mengandung dan pra-eklampsia adalah turut berisiko mendapat penyakit jantung (atau kardiovaskular) apabila umur mereka semakin meningkat. Oleh yang demikian mereka perlu dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan susulan secara berkala sepanjang hayat mereka. Semua wanita yang menghidap hipertensi sebelum mengandung perlu memastikan tekanan darah mereka terkawal dengan baik selama tiga bulan sebelum bercadang untuk mengandung lagi.

 

Kompromi janin boleh terjadi jika tekanan darah tinggi semasa kandungan diurus dengan baik
Ciri-ciri Pra-Eklamsia Akut

 

 

 

postheadericon Diabetes Melitus Semasa Kehamilan

Apakah Diabetes Melitus?

Diabetes Melitus adalah sejenis gangguan atau ketidakaturan yang menghalang badan dari menggunakan makanan dengan berkesan. Karbohidrat ringkas (gula di dalam minuman ringan, kek, atau jem) dan karbohidrat kompleks (kanji di dalam nasi dan mee) akan dihadamkan di dalam badan untuk membentuk glukosa. Glukosa dalam aliran darah kemudiannya akan dicernakan di dalam pelbagai tisu badan dan proses ini dikawalatur oleh insulin. Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas iaitu organ kecil yang terletak di belakang perut. Tanpa insulin, glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes melitus.

Apakah yang dimaksudkan Diabetes Melitus semasa kehamilan?

Diabetes Melitus (GDM) semasa kehamilan merupakan keadaan di mana kandungan gula dalam darah tinggi semasa hamil dan ia dialami oleh sesetengah wanita.

Apakah bezanya antara diabetes semasa kehamilan dengan diabetes yang lain?

Di luar kehamilan, diabetes dikelaskan sama ada jenis 1 (Diabetes Melitus bersandarkan insulin, IDDM) atau jenis 2 (Diabetes Melitus tidak bersandarkan insulin, NIDDM). Sebanyak 10% pesakit Diabetes menghidap Diabetes jenis IDDM. Bagi kes IDDM, insulin yang dihasilkan oleh sel b-islet di dalam pankreas adalah tidak mencukupi atau tiada langsung. Manakala bagi NIDDM, reseptor insulin yang tidak sensitif dianggap menjadi penyebab utama masalah ini dan pesakit NIDDM biasanya gemuk.

Semasa kehamilan, kesan insulin akan terganggu sedikit oleh berbagai-bagai hormon yang dihasilkan oleh uri. Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Beberapa hormon seperti estrogen, kortisol dan “human placental lactogen” akan menyekat pengeluaran insulin. Ia biasanya bermula pada pertengahan kehamilan (20-24 minggu). Semakin uri membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi. Bagi kebanyakan wanita, uri dapat menghasilkan insulin tambahan untuk mengatasi rintangan insulin. Jika ia gagal maka GDM akan berlaku. Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak. Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap Diabetes kemudian nanti.

Adakah GDM kerap berlaku?

Ia berlaku sebanyak 3-12% daripada semua kehamilan.

Siapakah yang berisiko mengalami GDM?

Sesiapa sahaja boleh mengalami GDM semasa kehamilan. Pesakit yang sememangnya menghidapi diabetes melitus berisiko tinggi menghidap GDM. Namun, wanita boleh menghidap GDM tanpa sebarang penyakit diabetes sebelumnya.

Faktor-faktor yang berkaitan dengan kemungkinan berlakunya GDM termasuklah:

  • Sejarah keluarga menghidapi diabetes.
  • Wanita berumur (>35 tahun).
  • Wanita gemuk dengan indeks jisim badan >30.
  • Mengalami masalah yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi, penghasilan cecair amnion berlebihan (polihidramnios), keguguran.
  • Pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar sebelumnya, lahir mati, atau bayi yang dilahirkan cacat.
  • Kandidiasis faraj yang berulang-ulang dan jangkitan kulat pada Kulit.

Bagaimana penyakit ini dikesan?

Lazimnya wanita tidak menunjukkan sebarang tanda amaran walaupun kemungkinan sesetengah wanita merasa teramat dahaga, kerap buang air kecil dan kelesuan. Ramai wanita yang menghidap GDM tidak menunjukkan sebarang faktor risiko. Sesetengah pusat rawatan menyediakan ujian saringan antara 24-28 minggu kehamilan. Namun dicadangkan anda menjalani ujian saringan glukosa (ujian kerintangan glukosa oral yang diubahsuai, MOGTT) jika terdapat faktor risiko.

Apakah ujian Tolerans Glukosa secara oral?

Ujian akan dijalankan selepas pesakit berpuasa semalaman dari pukul 10.00 malam sebelumnya. Sampel darah untuk menentukan paras gula dalam darah akan diambil pada awal pagi diikuti meminum glukosa (75 gm glukosa di larutkan dalam 250ml air). Ujian ini selesai apabila pengukuran paras gula dalam darah diambil 2 jam berikutnya
Intepretasi hasil ujian

Aras glukosa dalam plasma vena (mmol/l)
Puasa 2 jam selepas glukosa diambil
Normal <6 <8
Tolerans glukosa yang terganggu 6-8 8-11
Diabetes >8 >11

Bagaimana diabetes memberi kesan ke atas kehamilan?

Ini bergantung pada tahap penjagaan kesihatan diri anda sendiri. Jika paras gula di dalam darah dapat dikawal dengan baik sepanjang kehamilan, komplikasi untuk mengalami masalah ini dapat dikawal dan dicegah. Jika paras gula di dalam darah berlebihan, maka ia akan berpindah ke bayi menerusi uri. Janin akan bertindak balas dengan menukarkan glukosa yang berlebihan kepada lemak dan bayi ini akan menjadi terlalu besar (makrosomia). Bayi yang terlalu besar akan menimbulkan kesukaran ketika pelahiran dan kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean.

Sebagai tambahan kepada makrosomia, GDM akan meningkatkan risiko hipoglisemia (paras gula yang rendah di dalam darah) semasa bayi baru dilahirkan. Paras gula di dalam darah bayi akan diawasi dengan teliti semasa penjagaan bayi dan adalah perlu memberi glukosa secara intravena kepada bayi jika paras gula terlalu rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada Jaundis, ketidakimbangan bahan kimia di dalam darah seperti paras serum kalsium dan magnesium yang rendah, masalah pernafasan mahu pun kecacatan bayi. Adalah dipercayai bahawa bayi yang bersaiz besar cenderung menjadi obes di masa akan datang. Semasa dewasa, mereka juga akan cenderung untuk menghidapi diabetes jenis 2 (diabetes yang tidak bersandarkan insulin).

Pemeriksaan ultrasound semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz janin dan mengesan polihidramnios serta keabnormalan janin. Seperti pesakit diabetes yang lain, ibu yang hamil dengan GDM adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, Diabetik Ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit. Mereka juga mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.

Adakah GDM menjejaskan proses pelahiran dan kelahiran?

GDM itu sendiri bukanlah merupakan penunjuk bagi pembedahan Caesarean. Namun jika bayi terlalu besar untuk menjalani kelahiran normal melalui faraj, atau jika bayi dalam tidak dapat dilahirkan secara normal, maka kelahiran secara Caesarean sangat diperlukan. Jika bayi sangat besar, ia kemungkinan akan mengalami trauma semasa kelahiran, terutamanya kecederaan tulang dan saraf di sekitar bahu.

Jika terapi insulin diperlukan semasa kehamilan, anda akan diberi suntikan insulin pada waktu pagi semasa pelahiran bermula atau diberi melalui intravena sepanjang proses pelahiran. Selepas bayi dilahirkan paras gula di dalam darah biasanya akan kembali ke paras normal dan insulin tidak diperlukan lagi.

Bagaimana rawatan terhadap GDM?

Langkah pertama ialah mengawal paras glukosa di dalam darah dengan pengubahsuaian diet. Senaman sederhana secara tekal juga berguna untuk memperbaiki tolerans glukosa. Jika pendekatan melalui pemakanan tidak berkesan, terapi insulin diperlukan. Paras glukosa perlu diawasi selalu jika terapi insulin telah dimulakan. Jika anda memang menghidap diabetes dan bercadang untuk hamil, anda perlu berusaha untuk mengawal diabetes pada tahap optima beberapa bulan sebelum mengandung kerana paras glukosa yang tinggi semasa trimester pertama akan meningkatkan risiko kelahiran bayi cacat.

Mengapa diet yang khusus disyorkan?

Diet seimbang yang berkhasiat amat perlu untuk mengekalkan kesihatan ibu yang sihat dan kehamilan yang berjaya. Bagi wanita yang mengalami GDM, diet yang sempurna dapat memastikan paras gula dalam darah adalah normal dan secara amnya ia adalah langkah pertama yang dilakukan sebelum menggunakan terapi insulin. Tumpukan sepenuh perhatian terhadap pengambilan kalori setiap hari dan pemilihan makanan yang betul untuk mengekalkan paras gula di dalam darah.

Keperluan kalori setiap hari meningkat sebanyak 300 kalori semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan. Jika pengambilan kalori semasa tidak hamil adalah 1800 kcal sehari dan berat badan kekal, pengambilan kalori sebanyak 2100 kalori setiap hari adalah biasa dari tempoh 14 minggu kehamilan hingga proses kelahiran.

Berikut adalah pola pemakanan yang baik untuk mengekalkan paras gula yang normal di dalam darah:

  • Elakkan gula dan makanan yang tinggi kandungan gulanya (kek, aiskrim, minuman ringan, buah-buahan di dalam tin, jem, coklat dan lain-lain).
  • Mengambil karbohidrat kompleks (bijirin, kekacang, peas, sayur-sayuran, dan makanan berkanji).
  • Mengambil makanan yang kaya serat (buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti gandum tulen, dan lain-lain).
  • Memastikan diet yang rendah lemak, terutama lemak tepu (mentega, daging berlemak, krim dan lain-lain). Pilihlah hirisan nipis daging dan ayam tanpa kulit. Elakkan makanan yang bergoreng.

Bagaimana mengendalikan suntikan insulin?

Doktor atau jururawat terlatih akan mengajar anda teknik suntikan insulin apabila rawatan diperlukan. Ia merupakan suntikan yang biasanya dilakukan di bawah kulit di bahagian tisu subkutaneus. Kawasan suntikan yang biasa ialah bahagian lengan atas (kawasan deltoid) atau di bahagian anterior peha atas. Suntikan di bahagian abdomen patut dielakkan.

Penjagaan ubat-ubatan dan jarum

Insulin mesti disimpan di bahagian kering dalam peti sejuk, seperti di tempat menyimpan hasil tenusu. Jarum boleh digunakan berulang kali dengan syarat ia dibersihkan selepas digunakan dan dibuang apabila susah untuk disuntik atau apabila suntikan menyebabkan rasa sakit

Perlukah melakukan senaman?

Program senaman setiap hari dapat membantu anda merasa selesa, mengurangkan ketegangan mahu pun mengelakkan sakit belakang, mengekalkan tona otot, kekuatan dan ketahanan. Bagi wanita yang menghidapi GDM, ia sangat penting. Selalu bersenam dapat meningkatkan keupayaan atau potensi insulin di dalam badan. Ini dapat memastikan par

as normal gula di dalam darah disamping mengurangkan penggunaan insulin. Senaman yang sederhana juga dapat membantu mengurangkan selera makan dan menurunkan berat badan ke paras normal. Ia sangat penting untuk mencegah paras gula yang tinggi di dalam darah.

Walau bagaimanapun, penjagaan yang khusus perlu diambil untuk mengelakkan sukan atau senaman yang mungkin menyebabkan anda jatuh, atau yang melibatkan sentakan. Aktiviti berbasikal dan berjoging sebelum hamil merupakan contoh senaman yang baik untuk diteruskan semasa kehamilan. Berjalan-jalan adalah baik untuk wanita yang sebelum ini tidak aktif dan ingin mula bersenam semasa hamil. Senaman secara tekal selama 4-5 hari setiap minggu adalah perlu untuk merendahkan paras gula dalam darah. Berhenti bersenam jika anda merasa sakit, pening, sesak nafas, pitam, debaran jantung, sakit belakang atau sakit di bahagian pelvis, atau pernah mengalami pendarahan faraj.

The American College of Obstetricians & Gynecologists (ACOG) mencadangkan meminum cecair sebelum dan selepas senaman dan jika perlu, semasa sedang bersenam untuk mengelakkan dehidrasi. Terlalu kuat bersenam mungkin menyebabkan rahim dan janin tidak mendapat bekalan darah yang cukup. ACOG mengesyorkan wanita hamil mengukur kadar degupan jantung semasa melakukan aktiviti. Kadar degupan jantung ibu yang mengandung sepatutnya tidak melebihi 140 denyutan seminit.

Apakah yang berlaku jika amalan diet dan senaman gagal mengawal paras gula dalam darah?

Jika paras gula di dalam darah cenderung untuk melebihi julat normal, anda perlu mengambil suntikan insulin. Insulin tidak boleh diberi secara oral kerana ia akan dihadamkan seperti protein di dalam makanan dan menyebabkan kesan terapeutiknya hilang. Ia diberi secara suntikan di bawah kulit dengan menggunakan jarum yang sangat halus, oleh itu anda akan merasa tidak selesa sedikit ketika suntikan diberi. Ia selalu dilakukan oleh anda sendiri dan anda akan diajar oleh doktor bagaimana untuk melakukannya. Jumlah insulin yang diperlukan untuk memastikan paras gula adalah dalam julat normal akan meningkat mengikut perkembangan kehamilan. Ini tidak bermakna GDM semakin teruk. Uri yang membesar seiring dengan berlanjutnya kehamilan akan menghasilkan paras hormon kontra-insulin yang lebih tinggi. Akhirnya anda memerlukan lebih insulin untuk mengatasi kesannya.

Adakah anda perlu mengambil insulin?

Ya. Ini kerana walaupun diet dijaga dengan baik, paras gula dalam darah sesetengah wanita masih tidak berada dalam julat yang boleh diterima. Wanita hamil yang bebas dari GDM jarang mempunyai paras glukosa dalam darah yang melebihi 6 mmol/l sebelum sarapan di waktu pagi atau 2 jam selepas bersarapan. Sasaran optima bagi pesakit GDM ialah mempunyai paras gula dalam darah yang sama dengan wanita yang tidak mengalami diabetes. Jika paras gula ketika berpuasa melebihi 6 mmol/l atau jika 2 jam selepas makan, paras gula masih melebihi 8 mmol/l pada dua masa yang berasingan, terapi insulin amnya diperlukan. Keupayaan untuk melakukan sendiri pengawasan glukosa di dalam darah membolehkan terapi insulin dimulakan sebaik sahaja tanda awal paras gula yang tinggi dikesan. Dengan itu janin dapat dicegah dari terdedah kepada paras glukosa yang tinggi dalam darah ibu.

Apakah yang berlaku jika paras gula di dalam darah menjadi lebih rendah?

Paras gula yang rendah di dalam darah (hipoglisemia) merupakan komplikasi yang mungkin berlaku jika seseorang telah mengambil terapi insulin untuk GDM. Ini mungkin berlaku jika anda lambat mengambil sarapan atau bersenam lebih dari yang biasa. Ia merupakan kes kecemasan dan perlu dirawat dengan teliti. Jika terdapat gejala hipoglisemia (kekeliruan, pening, penglihatan kabur, berpeluh, terketar-ketar, tersangat lapar) anda perlu mengambil sebarang bentuk gula dengan segera. Apabila anda menggunakan insulin, anda perlulah membawa gula atau makanan/minuman manis (kandi yang manis, minuman berglukosa) sebagai langkah berjaga-jaga. Doktor perlu diberitahu mengenai sebarang reaksi hipoglisemia yang berlaku. Ia mungkin menyebabkan pengubahsuaian terapi insulin yang anda jalani.

Apakah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah yang berkaitan dengan GDM?

Diet pesakit yang mengalami GDM mestilah mencukupi untuk membekalkan pemakanan yang dapat memenuhi keperluan ibu dan bayi yang sedang berkembang. Pada masa yang sama diet yang diambil boleh mengekalkan paras normal glukosa di dalam darah. Ibu yang menghidapi GDM boleh diajar cara-cara mengukur paras glukosa di dalam darah di rumah untuk memastikan ia berada di paras yang dibenarkan. Keupayaan pesakit untuk menentukan paras gula dalam darah melalui penggunaan peralatan merupakan satu lagi kejayaan penting dalam pengurusan penyakit diabetes. Teknik ini dikenali sebagai pemantauan sendiri glukosa di dalam darah dan ia membenarkan anda memeriksa sendiri paras gula darah sama ada di rumah atau di tempat kerja tanpa melibatkan kos dan menjimatkan masa untuk berjumpa doktor.

Apakah yang dimaksudkan pemantauan sendiri glukosa di dalam darah?

Apabila anda telah didiagnos menghidap GDM, adalah penting bagi anda mengetahui paras gula di dalam darah dari sehari ke sehari. Anda juga harus mengetahui bagaimana corak pemakanan dan cara senaman mempengaruhi paras gula di dalam darah anda. Semakin lanjut kehamilan, uri akan membebaskan lebih banyak hormon yang akan bertindak ke atas insulin. Menguji paras gula di dalam darah pada waktu tertentu dalam sehari dapat mengetahui jika diet yang sempurna dan peningkatan berat badan dapat mengekalkan paras normal gula di dalam darah atau jika insulin yang lebih diperlukan untuk melindungi janin.

Pemantauan sendiri glukosa di dalam darah boleh dilakukan dengan mencucuk jari untuk mendapatkan titis darah dan disukat dengan menggunakan alat khas untuk mendapat bacaannya. Doktor boleh menasihatkan anda bagaimana untuk mendapatkan alat ini. Anda mungkin perlu menguji darah anda beberapa kali dalam sehari. Secara amnya, ia dilakukan sebelum makan. Setiap pesakit boleh mempunyai jadual sendiri untuk tujuan pengukuran

Apakah ujian-ujian lain yang perlu diketahui?

Selain daripada ujian darah, anda juga dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan air kencing untuk mengesan kehadiran keton. Keton adalah hasil sampingan dari penguraian lemak. Ia boleh dijumpai di dalam darah dan air kencing akibat insulin yang tak mencukupi atau kalori yang tidak mencukupi dalam diet anda. Walaupun tidak diketahui jumlah keton yang boleh mengancam janin, keton yang banyak akan disertai dengan asidosis, iaitu satu keadaan yang boleh mengancam janin. Sebagai langkah keselamatan, anda perlu mengawasi kehadirannya dalam air kencing dan melaporkan sebarang keputusan yang positif kepada doktor.

Untuk menguji kehadiran keton di dalam air kencing, anda boleh menggunakan jalur ujian khusus yang telah dirawat dengan bahan kimia. Ujian dapat dilakukan dengan mendedahkan sehelai jalur pakai buang pada aliran air kencing atau mencelup jalur ke dalam bekas yang mengandungi air kencing. Jalur akan berubah warna bergantung kepada jumlah keton yang hadir di dalamair kencing. Warna jalur bolehlah dibandingkan pada carta untuk menunjukkan paras keton. Penasihat kesihatan boleh menasihatkan anda masa yang sesuai untuk melakukan ujian dan berapa kerap anda perlu melakukannya.

Adakah anda perlu mempunyai jadual pemeriksaan lanjutan antenatal?

Apabila anda disahkan menghidap GDM, anda dicadangkan untuk menjalani pemeriksaan antenatal setiap 2 minggu sehingga kehamilan anda berusia 32 minggu dan selepas itu lakukan pemeriksaan setiap minggu sehinggalah melahirkan bayi. Semasa pemeriksaan, imbasan ultrasound akan dilakukan untuk mengesan sebarang keabnormalan dan komplikasi di samping mengawasi tumbesaran janin. Profil gula di dalam darah akan diperiksa sekurang-kurangnya setiap 2 minggu untuk menilai keberkesanan pengawalan diabetes anda.

 

Kira Body Mass Index Anda



Jump to the BMI table »

Pemanis Khasiat Yang Mustajab
Pengganti gula yang unik semakin popular di serata dunia kerana, ia bukan sahaja 300 kali lebih manis daripada gula tebu, tiada sisa rasa yang pelik, manakal juga memberi manfaat kesihatan yang terbukti pada gula darah, kesihatan oral, kawalan berat, dan lain-lain.
http://www.luvina.biz

Pakej Kesihatan Serba Lengkap
Produk mesti guna dikalangan wanita-wanita dan ibu-ibu selepas bersalin.
http://www.luvina.biz